2.1 Pengenalan
Perkahwinan merupakan instrumen prelimenari / primer kepada pembinaan
keluarga sebagai unit asas dan tunjang sesebuah masyarakat. Perkahwinan juga
dianggap sebagai langkah permulaan kepada pembentukan keluarga. Secara
tradisinya setiap pasangan individu yang ingin memulakan dan membina sebuah
keluarga bersama perlu melalui peringkat perkahwinan.
Sebenarnya definisi perkahwinan yang akan dikemukakan adalah hampir
sama secara teorinya. Cuma praktikalnya berbeza mengikut budaya, adat,
pegangan, di mana dan bila konsep tersebut dipersepsikan oleh pelbagai bangsa di
seluruh dunia. Misalnya antropologi Barat mendefinisikan mengikut teori dan hasil
kajian dari proses sosialisasi Barat, manakala antropologi Timur khasnya Islam
mendefinisikan konsep tersebut mengikut undang-undang Islam yang
bersumberkan kitab al-Quran dan al-Hadith dari segi primernya. Ia diwarnai pula
dengan adat budaya oleh masyarakat yang diwarisi sejak turun temurun. Namun
kedatangan Islam telah mengubah sebahagian dari adat yang bertentangan dengan
nilai Islam secara efektif dan komprehensif.